Kinabatangan: Lelaki yang menetak rakannya kerana suka membazir air akhirnya
berjaya ditangkap dalam kawasan ladang sawit di Melangking, Sukau, semalam.
Suspek berjaya diberkas kira-kira 4 petang, ketika bersembunyi di bawah
timbunan pelepah sawit.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata,
sebelum penahanan dilakukan, pihaknya menerima makluman pekerja ladang itu ada
datang ke perumahan pekerja ladang untuk meminta makanan pada Ahad.
Menurutnya, susulan itu, usaha mengesan lelaki terbabit dipergiatkan ke
kawasan seperti dilaporkan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
"Selepas menjalankan pengesanan, akhirnya suspek berjaya dikesan bersembunyi
di bawah timbunan pelepah sawit di ladang terbabit.
"Ketika ditemui, lelaki itu tidak berpakaian dan masih lagi memegang sebilah
senjata tajam yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa.
"Sebaik cuba ditangkap, suspek turut bertindak agresif. Namun berjaya ditahan
dan senjata sepanjang 76 sentimeter berjaya dirampas," katanya dalam satu
kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk
siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kejadian pergaduhan dua rakan serumah susulan
masalah bekalan air.
Mangsa, 30, dilaporkan suka membazir air sedangkan perumahan mereka mengalami
masalah bekalan air.
Berlaku pertengkaran sehingga salah seorang terbunuh akibat dilibas dengan
senjata tajam.
Join our Telegram Channel