KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam
pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Damai Perdana, Batu 9 Cheras di sini,
pada 9 April lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek berumur
19 hingga 28 tahun itu ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira
11.40 malam pada hari kejadian membabitkan pergaduhan beberapa lelaki di
hadapan sebuah restoran yang menyebabkan seorang lelaki berusia 27 tahun
cedera dan dihantar ke Hospital Kajang bagi menerima rawatan.
“Bagaimanapun mangsa dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pada hari yang
sama dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut boleh
menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Muhammad Azrul
Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Please subscribe
Join our Telegram Channel