Empat lelaki pukul pengawal peribadi kerana puasa direman



KLANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam memukul dua pengawal peribadi menggunakan rotan kerana berpuasa direman lima hingga tujuh hari.

Majistret Solehah Noratikah Ismail membenarkan kesemua individu terbabit direman bermula hari ini selepas permohonan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua mereka yang direman itu merupakan tiga pekerja kepada majikan terbabit dan pengawal peribadi masing-masing berusia 38 hingga 46 tahun.

Semalam, keempat-empat lelaki terbabit ditahan bermula pukul 9 malam di sekitar daerah ini.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan polis kira-kira pukul 4.16 petang semalam di Balai Polis Klang berhubung dua lelaki Melayu telah dipukul secara bergilir-gilir di bahagian belakang badan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa. Malah, majikannya juga telah mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada mangsa dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.


“Oleh demikian, kita telah menahan empat individu yang disyaki terlibat dengan kejadian ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 324,506 dan 298 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya menegaskan bahawa kes ini tidak melibatkan sebarang isu perkauman.

“Masyarakat atau mana-mana individu dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keharmonian kaum.


Join our Telegram Channel
Telegram