Adun Teratai Bryan Lai telah meletakkan jawatan sebagai setiausaha penaja
DAP Selangor di tengah-tengah dakwaan mempunyai hubungan sulit.
Buat masa ini jawatan itu dipangku oleh Adun Banting, Lau Weng San.
Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo memaklumkan perkara itu dalam
kenyataan hari ini selepas mendapat surat letak jawatan daripada Lai.
"Semalam, saya mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa eksekutif DAP
Selangor dan kami memutuskan untuk menerima peletakan jawatannya," katanya.
Katanya lagi, Lai pada masa sama kekal sebagai ahli DAP dan Adun Teratai.
Gobind berkata, jawatankuasa eksekutif DAP akan menyerahkan isu tersebut
kepada jawatankuasa disiplin parti untuk tindakan susulan.
Bagaimanapun dia tidak mendedahkan sebab peletakan jawatan Lai mahupun
keperluan membawa isu itu kepada jawatankuasa disiplin.
Dalam pada itu, Bendahari DAP Selangor Ng Sze Han mengaitkan isu tersebut
dengan spekulasi mutakhir berhubung dakwaan Lai mempunyai hubungan sulit.
Ng berkata, oleh itu jawatankuasa negeri menerima peletakan jawatan
tersebut.
"Dalam suratnya, dia menyebut jika isu tersebut menimbulkan masalah kepada
parti, dia sanggup memohon maaf kepada parti dan letak jawatan," katanya
ketika dihubungi Malaysiakini.
Ketika dihubungi, Lai mengesahkan peletakan jawatannya dan berkata dia
sedang menunggu arahan lanjut daripada parti.
Ditanya berhubung kaitan peletakan jawatan dengan dakwaan terhadapnya, Lai
hanya berkata dia tiada sebarang komen berkenaannya. – Mkini
Join our Telegram Channel