BIDOR: “Saya hanya bergurau, saya bukan mahu ambil semula kerusi MB Perak.
Saya nak tegur rakan media bila bergurau dalam laporan kenalah tulis ia secara
bergurau,” kata Timbalan Presiden PPBM Ahmad Faizal Azumu.
Bekas menteri besar Perak itu berkata, ucapannya yang memetik kata-kata
pelakon Arnold Schwarzenegger dalam filem
“Terminator, I’ll be back” dan frasa perkataan itu bukannya merujuk
yang beliau akan mengambil semula kerusi menteri besar.
Katanya, dalam ucapan pada satu majlis bersama PPBM di Sabah itu beliau tidak
memaksudkan akan kembali menggalas jawatan menteri besar sebaliknya mahu
menjelaskan akan terus berkhidmat sebagai ahli politik, tidak semestinya
sebagai menteri besar.
Beliau berkata, kerajaan sedia ada bawah pimpinan menteri besar daripada Umno,
Saarani Mohamad sudah merencana perkara yang baik untuk kebajikan rakyat dan
usaha itu seharusnya disokong.
“Enough politik, lagi pula saya fikir kerajaan (Perak) yang ada
sekarang ini patut diberi sokongan untuk pastikan kepentingan rakyat,” katanya
kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada warga
Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mes Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor.
Isnin lalu, laporan media menyebut Faizal membayangkan akan kembali menjadi
pemimpin nombor satu negeri itu selepas meletak jawatan pada 5 Dis lalu.
Perkara itu dinyatakan dalam ucapannya ketika majlis sambutan ulang tahun PPBM
Sabah di Kota Kinabalu.
“Satu-satunya negeri yang dipimpin oleh (pemimpin) PPBM adalah di Sabah
selepas menteri besar Perak direhatkan sebelum ini.
“Tapi seperti kata (filem) ‘Terminator, I’ll be back’.
“Sebenarnya, perkara ini (dakwa mahu kembali jadi menteri besar) bermula dari
laporan tidak tepat rakan media, saya harap kita mesti bertanggungjawab, ia
bukan cerita besar pun, dalam ucapan saya panjang tetapi apa yang saya gurau
itu pula yang keluar (dilaporkan),” katanya.
Sementara itu, Faizal berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan naib
presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar Jumaat
ini bagi membincangkan agihan kerusi membabitkan PPBM dan PAS negeri itu pada
pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, kedua-dua parti sebelum ini sudah membuat keputusan untuk
membentuk kerjasama bersama parti gabungan lain dalam Perikatan Nasional (PN)
bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya mewakili PPBM dan Ahmad Samsuri mewakili PAS akan duduk semeja
membincangkan soal pembahagian kerusi antara PAS dan PPBM di Terengganu pada
pilihan raya umum akan datang.
“Sebelum ini (perbincangan agihan kerusi Parlimen) kami sudah menyelesaikan
kira-kira 20% daripada 222 kerusi Parlimen,” katanya.
Terdahulu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Rosol Wahid berkata, proses
pengagihan kerusi parti itu dan PAS, khususnya di Terengganu, kini menjadi
lebih mudah selepas Umno menolak kerjasama dengan parti pimpinan Perdana
Menteri, Muhyiddin Yassin itu pada PRU15.
Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, pada Perhimpunan Agung Umno akhir bulan
lalu mendakwa, tiada istilah “muafakat” di negeri berkenaan antara partinya
dengan PAS, walaupun di peringkat pusat kedua-dua parti Melayu-Islam itu
secara rasmi menjalinkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional sejak Sept 2019.
Join our Telegram Channel