PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman mengumumkan
melepaskan jawatan sebagai pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd sebagai menyahut
usul diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020), baru-baru ini.
Dalam persidangan itu, Umno memutuskan untuk tidak lagi menyokong kerajaan
Perikatan Nasional (PN) dan menggesa peletakan jawatan menteri, dan timbalan
menterinya yang dilantik.
Dalam satu kenyataan media, Zawawi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri
Semerak berkata, surat rasmi peletakan tersebut akan diuruskan dalam masa
terdekat.
“Peletakan jawatan tersebut sebagai menyahut seruan usul yang diluluskan dalam
PAU2020,” katanya.
Beliau mula dilantik sebagai pengerusi Kesedar Kilang pada 26 Oktober tahun
lalu.
Kesedar Kilang adalah milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) iaitu
agensi di bawah Kementerian Luar Bandar dengan menterinya, Abdul Latiff Ahmad
daripada PPBM.
Abdul Latiff, yang merupakan Ahli Parlimen Mersing adalah antara wakil rakyat
yang memenangi pilihan raya umum ke-14 di bawah tiket Barisan Nasional (BN),
tetapi menyertai PPBM ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Join our Telegram Channel