Ahli Parlimen Tawau Christina Liew berkata, dia kini dalam proses
mempersiapkan 2,000 bantuan makanan bagi kawasan parlimennya.
Namun, jelasnya, ia hanya boleh diedarkan dalam seminggu dua lagi.
“Lagi seminggu dua saya akan balik Tawau, dan saya akan berikan kepada
mereka,” kata Liew kepada Malaysiakini hari ini.
Dia berkata demikian setelah ditanya nasib penduduk di Kampung Muhibbah Raya,
Tawau yang merupakan salah satu kawasan di daerah itu yang dikenakan perintah
kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan sehingga Mei 8.
Susulan kekecewaan penduduk berhubung pelanjutan PKPD, beberapa individu
mengadakan protes aman semalam yang membawa kepada penahanan aktivis Borneo
Komrad serta lima lagi yang dipercayai penyokong dan orang kampung.
“Mungkin mereka sewajarnya berhubung dengan pegawai saya dahulu sebelum
berbuat demikian.
“Apa-apa pun saya lega mereka ada peguam. Peguam mereka tahu apa yang perlu
dilakukan,” kata Pengerusi PKR Sabah itu.
“Saya konsisten berikan bantuan makanan kepada warga Tawau dan susulan
peningkatan penularan Covid-19, saya kini mempersiapkan lagi dalam 2,000
bungkus (bakul makanan),” katanya.
Liew juga berkata, dia telah mengarahkan empat pegawai yang bertugas di pusat
khidmat parlimen Tawau untuk menyiasat protes tersebut dan sedang menunggu
maklum balas mereka.
“Saya telah arahkan pegawai saya untuk mendapatkan maklumat jelas sebelum
mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.
Terdahulu, aktivis Sabah dan penduduk Tawau, Rahman Imuda membuat hantaran di
Facebook berserta gambar tangkap layar mesejnya di WhatsApp kepada Liew yang
tidak dibalas.
“Sebenarnya sepanjang pandemik Covid-19, saya tidak melihat usaha yang jelas,
sebagai wakil rakyat Tawau untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Aku sarankan kepadanya, jika tidak dapat membela rakyat Tawau di waktu susah,
jangan bertanding di Tawau lagi,” kata Rahman.
Ketika dihubungi Rahman mendakwa Liew tidak selalu berada di Tawau dan hanya
melihatnya ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pada September tahun lalu.
“Kami tak pernah nampaknya sama sekali,” tambahnya.
Kesemua tujuh individu yang ditahan polis kerana terlibat dalam protes
pelanjutan PKPD di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah direman selama dua
hari mulai pagi tadi.
Join our Telegram Channel