SEREMBAN: Penyanyi, Datuk Jamaludin Elias, 62, atau Nash yang cedera selepas
terlibat dalam kemalangan di Kilometer 250.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah
Utara), dekat sini petang semalam kini dilaporkan stabil.
Nash yang mendapatkan rawatan di Wad 5A di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di
sini berkata, dia mengalami kesakitan di bahagian belakang selain bahagian
atas dan bawah bibirnya luka dan dijahit.
“Alhamdulillah, keadaan saya sekarang stabil, tetapi bahagian belakang memang
sakit sangat. Bibir saya kena jahit sedikit atas dan bawah serta luka di
bahagian siku.
“Ketika kemalangan berlaku saya tidak sedar kerana tidur di sebelah pemandu
tetapi memang masa itu hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
di sini hari ini.
Nash berkata, keluarganya telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan
anaknya dari Shah Alam ke hospital untuk menemaninya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertanya
khabar dan mendoakan kesembuhannya.
Semalam, Utusan Online melaporkan, Nash bersama pemandunya berusia 33 tahun
terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan jenis Toyota Harrier yang
dinaikinya dipercayai terbabas sendiri dalam kejadian pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata,
mangsa dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Kuala Lumpur bersama
pemandunya.
Join our Telegram Channel