Seorang peniaga burger, yang menjalankan perniagaannya di hadapan rumah
melahirkan rasa terkejut apabila dikompaun RM50,000 oleh pihak polis gara-gara
beroperasi melebihi had masa ditetapkan.
Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam tadi dia didatangi
beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggan di hadapan
rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.
Katanya, pihak polis kemudiannya bertindak mengeluarkan kompaun RM50,000 atas
kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan
(PKP).
"Ketika itu tiada seorang pelanggan pun di gerai, saya sedang siapkan pesanan
pelanggan iaitu golongan pekerja kilang. Biasanya pesanan itu saya akan hantar
(COD) di kilang mereka bekerja.
"Saya terkejut kerana dikompaun dengan nilai setinggi itu. Dengan keadaan PKP
dan tempoh niaga yang begitu terhad ini.
"Memang saya belum tutup kedai, tapi dah tak niaga ketika itu. Cuma siapkan
tempahan untuk dihantar. Meja pun saya tak buka," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini, hari ini.
Tambah Faisal, anggota polis berkenaan memberitahu ada pihak lain yang membuat
laporan menyata kedainya beroperasi melebih waktu ditetapkan.
Malah katanya, kompaun ke atasnya itu merupakan kes berulang selepas kali
pertana ketika PKP sebelum ini dan dikompaun RM1,000.
"Sejak PKP tahun lalu saya cuma berniaga di rumah dan ini merupakan
satu-satunya mata pencarian saya.
"Saya merayu agar kompaun ini dipertimbangkan semula, jumlah ini memang
terlalu jauh daripada kemampuan saya," katanya.
Sebagai rekod operasi premis kedai makan atau restoran di Kelantan dihadkan
sehingga jam 10 malam sahaja sepanjang tempoh PKP yang sedang dikuatkuasakan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Abdul Rahim Daud berkata,
inidvidu tersebut boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan
Malaysia berhubung kompaun berkenaan.
Katanya, kompaun yang dinyatakan itu merupakan jumlah maksimum denda bagi
kesalahan berniaga melebihi masa
"Pada buku saman ditulis RM50,000 iaitu jumlah maksimum. Bagi kesalahan
individu akan ditulis jumlah maksimum RM10, 000.
Join our Telegram Channel