Shah Alam: Polis yakin usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau
lebih dikenali Sajat masih berada di luar negara, dengan menyatakan dia
mungkin menggunakan kaedah tertentu untuk berbuat demikian.
Sajat menghilangkan diri selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan
mahkamah.
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis menerima
pelbagai maklumat daripada orang awam mengenai lokasi keberadaan Sajat
termasuk di Thailand.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, polis tidak menolak kemungkinan
usahawan itu kini berada di luar negara.
“Bagaimana dia (Sajat) berada di sana (luar negara), Wallahualam. Mungkin dia
menggunakan kaedah tertentu yang membolehkan dia berada di luar negara. Apa
sekali pun, kita (polis) tidak akan putus asa untuk mengesannya.
“Kita akan bantu mengikut kemampuan dan berusaha. Kalau subjek berada dalam
negara, Insya-Allah kita akan dapat jejak dan kesan. Sementara waktu ini, kita
perlu bersabar dulu,” katanya, menurut laporan Harian Metro.
Acryl berkata, sebarang maklumat dan petunjuk diperoleh akan diteliti untuk
tindakan susulan.
“Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan
Kelantan. Jadi maklumat itu kita ambil tindakan dan jika betul akan dapat
dikesan.
“Tapi apa yang berlaku, dia tiada di sana,” katanya.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini dilaporkan berkata, Sajat
berkemungkinan sudah berada di luar negara.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat
kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat,
pada 7.30 malam, 23 Feb 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion,
Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.
Join our Telegram Channel