Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, beliau
bukan menteri yang bertanggungjawab meratifikasi Konvensyen Antarabangsa
Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Bagaimanapun beliau mengakui, ICERD terkandung di dalam manifesto Pakatan
Harapan dan pernah diucapkan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir
Mohamad, di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018.
“Meratifikasi International Conventions on Human Rights ada dalam Manifesto
PH, dan ada dalam ucapan PM (perdana menteri) di PBB (2018), tapi saya bukan
menteri tentang ICERD,” katanya di dalam ciapan twitter rasminya di Kuala
Lumpur, semalam.
Beliau berkata demikian, sebagai mengulas dakwaan Setiausaha Organisasi DAP
Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa, bahawa idea untuk meratifikasi ICERD dan
Statut Rom merupakan idea Saifuddin dan bukannya idea DAP.
Pada 23 Nov 2018, Saifuddin yang merupakan Menteri Luar ketika itu dipetik
sebagai berkata, keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD diputuskan
sebulat suara dalam mesyuarat kabinet.
Mengulas mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Saifuddin
berkata keputusan meratifikasi dan kemudian membatalkannya telah diputuskan di
dalam Kabinet.
“Kedua-dua keputusan tentang meratifikasi dan lepas itu membatalkan Rom
Statut, dibuat di Kabinet dan saya menteri bertanggungjawab,” katanya.
Pada 5 April 2019, Tun Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri
daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berikutan kekeliruan
yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan
bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.
Tun Mahathir berkata Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan
Statut Rom ICC pada 4 Mac 2019, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh
menarik balik surat cara itu sebelum Jun.
Join our Telegram Channel