PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk menutup operasi
persekolahan sekolah rendah serta sekolah menengah di seluruh negara selepas
cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 16 Mei depan.
Dalam tempoh penutupan sekolah itu, para pelajar akan mengikuti pengajaran dan
pembelajaran di rumah (PdPR) selama 10 hari bermula dari 16 Mei hingga 27 Mei
membabitkan sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu)
manakala 17 Mei hingga 28 Mei (Kumpulan B).
Pelajar seterusnya akan terus bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun
(Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan KPM menutup
sekolah selepas raya adalah mengambil kira trend jangkitan Covid-19 dalam
masyarakat ketika ini.
“Melihat kepada kes sporadik dalam masyarakat dan kluster lain yang tidak
berkaitan dengan kluster pendidikan, kita khuatir berlaku jangkitan di luar
sekolah sebelum ia menjangkiti pelajar dan menyebabkan berlaku penularan dalam
sekolah.
“Kebimbangan KPM sudah tentu melibatkan pelajar-pelajar di sekolah asrama
penuh dan sekolah asrama harian kerana jika terjadinya penularan di asrama,
kemungkinan jangkitannya adalah lebih tinggi berbanding sekolah biasa,”
katanya dalam taklimat khas di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM membuat pengumuman awal bagi membolehkan
guru-guru memilih kaedah paling sesuai untuk memenuhi keperluan PdPR
murid-murid dalam tempoh 10 hari berkenaan.
Join our Telegram Channel