Golongan graduan perlu bersyukur sekiranya mendapat peluang pekerjaan walaupun
bergaji rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa
Mohamed.
Menurutnya, pasaran dan permintaan tenaga buruh lemah kerana ekonomi menguncup
sebanyak 5.6 peratus.
"Pasaran tenaga buruh, permintaan buruh dan permintaan tenaga kerja lemah
kerena ekonomi kita menguncup 5.6 peratus. Itu pun, dengan ada langkah-langkah
kerajaan, kalau tiada lagi teruk lagi.
"Jadi bagi saya para graduan dapat pekerjaan itu bersyukurlah kerana ramai
lagi yang tiada kerja walaupun gaji tu mungkin rendah.
"Kena sabarlah dalam keadaan tahun lepas, yang harga (gaji) tu harga tahun
lepas.
"Kita jangka tahun ini apabila ekonomi beransur pulih, mungkin gaji akan boleh
naik," katanya pada sidang media ketika menghadiri Program Malaysia Prihatin
peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu,
hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana keyakinan kerajaan
terhadap tahap permulaan gaji dalam kalangan graduan ketika pandemik Covid-19
masih menjadi ancaman terhadap sektor ekonomi.
Semalam, kerajaan menjangkakan gaji permulaan bagi siswazah yang memasuki
pasaran pekerjaan akan lebih tinggi menjelang pertengahan tahun ini berikutan
ekonomi dilihat semakin pulih dalam tiga ke empat bulan akan datang.
Mustapa bagaimanapun mengakui gaji diterima lulusan universiti tahun lepas
jauh lebih rendah susulan penularan pandemik Covid-19 sehingga memberi kesan
buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara dan global.
Sementara itu, anggota parlimen Jeli itu berkata, kerajaan sudah menentukan
gaji minima dan perkara lain akan bergantung kepada pasaran.
Join our Telegram Channel