MARANG: UMNO Terengganu meneruskan hasrat untuk bertanding di semua kerusi
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan
datang, sekali gus tidak memberi laluan mudah kepada Bersatu mahupun Pas.
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said berkata ia sekali gus menolak kerjasama di
antara parti Bersatu dan Pas di negeri itu.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata parti itu
juga optimis untuk merampas kembali kerusi yang kalah pada pilihan raya umum
lalu.
"Insya-Allah kita akan menang kembali. Kita kalah baru ni sebab empat, dah
terang-terang kalah kerana calon kita.
"Kalah pula 4 undi, 55 undi, bukan besar 300 undi.
"No way, cukup sampai di sini sayang," kata Ahmad.
Luahan bekas Menteri Besar Terengganu itu bukanlah kali pertama kerana sebelum
ini Ahmad telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan UMNO akan bertanding di
semua kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15.
"Saya terpaksa isytihar sebab apabila exco Pas Hanafiah (Mat) sebut di Kemaman
dia akan pertahanan 22 daripada 30 kerusi, kemudian Menteri Besar pula sebut
di Dungun Pas akan pertahan enam daripada lapan kerusi Parlimen.
"Dah apa yang tinggal... maknanya tak ada pilihan, lawan semualah," kata
Ahmad.
Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi
Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.
UMNO memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu, namun kerusi Hulu
Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) setelah Datuk Rosol Wahid isytihar keluar parti dan menyertai
Bersatu.
Join our Telegram Channel