Iskandar Puteri: Seorang wanita warga emas dicabul dan disamun di rumahnya di
Taman Skudai, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 3.30 pagi itu, suri rumah berusia 65 tahun itu sedang tidur
sebelum terdengar bunyi seperti orang sedang membuka tingkap biliknya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar
berkata, warga emas itu terkejut apabila mendapati seorang lelaki bangsa asing
berkulit gelap yang hanya berseluar dalam sedang berdiri di hadapan katilnya
sambil memegang sebatang besi.
"Suspek kemudian mengarahkan warga emas itu supaya diam dan menanggalkan
pakaian kerana mahu merogolnya.
"Mangsa yang dalam ketakutan hanya menuruti apa yang disuruh sebelum suspek
cuba untuk merogolnya, namun tidak berjaya.
"Suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 lalu
beredar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, susulan kejadian, polis berjaya menahan
seorang lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun dipercayai suspek utama.
Katanya, dua lagi warga Myanmar berusia 21 dan 26 tahun yang dipercayai
bersubahat juga ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian ketika melarikan diri.
"Kesemua tiga warga asing itu adalah buruh binaan dan ditahan 2.30 petang,
tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Polis turut merampas beberapa bahan bukti yang dipercayai digunakan untuk
tujuan samun antaranya sebatang besi, besi pengumpil, sehelai boxer berwarna
kelabu dan sebuah telefon bimbit," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun
bersenjata , Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 6(1)(c)
Akta Imigresen.
Kesemua suspek akan di bawa ke mahkamah Johor Bahru untuk proses permohonan
tahanan reman. – Hmetro
Join our Telegram Channel