Anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Noh Omar berkata Yang di-Pertuan
Agong berhak mengarahkan parlimen bersidang tanpa perlu mendapat nasihat
perdana menteri berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tanjung Karang itu bersetuju dengan pandangan veteran Umno,
Tengku Razaleigh Hamzah berhubung kuasa Agong untuk memanggil sidang parlimen.
"Saya setuju dengan pandangan Ku Li (Tengku Razaleigh). Kalau Perlembagaan
masih kuat kuasa, Artikel 55 mesti terpakai tetapi bila ada Ordinan Darurat
maka Ordinan Darurat mengatasi perlembagaan maka Yang di-Pertuan Agong boleh
mengarahkan parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri.
"Kalau Artikel 55 tidak terpakai maka Artikel 40 juga tidak terpakai.
"Ringkasnya Ordinan Darurat yang dibuat menurut Artikel 150 (2C) Perlembagaan
Persekutuan bukanlah satu Undang-Undang Persekutuan.
"Pada menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Darurat, Yang
di-Pertuan Agong tidak tertakluk di bawah Artikel 40 untuk bertindak menurut
nasihat kabinet," kata Noh dalam satu hantaran di Facebooknya.
Perkara 55 adalah berkaitan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan
parlimen. Manakala Perkara 40 adalah berkaitan Yang di-Pertuan Agong hendaklah
bertindak mengikut nasihat.
Perkara 150 (2C) Proklamasi Darurat pula memperuntukkan: Sesuatu ordinan
yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan
kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa
dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga
ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga
ordinan itu luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk
memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan
apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa
menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki
diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam
mana-mana satu Majlis Parlimen.
Berdasarkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Muhyiddin
Yassin selaku ketua mesyuarat perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28
hari sebelum parlimen bersidang.
Darurat yang diisytiharkan sebelum ini berkuat kuasa dari 11 Jan ke 1 Ogos dan
tertakluk kepada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.
Muhyiddin pada 15 Jun lalu berkata parlimen boleh dibuka semula apabila
Malaysia memasuki fasa ketiga pelan pemulihan Covid-19.
Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen itu,
Muhyiddin berkata Malaysia dijangka memasuki fasa ketiga pemulihan pada
September atau Oktober.
Bagaimanapun, Agong pada 16 Jun menzahirkan pandangan bahawa persidangan
parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Pada hari sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan
Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengulas kenyataan istana, berkata meskipun
Agong menyebut parlimen perlu bersidang secepat mungkin, namun baginda tidak
menitahkan bila tarikh tepat untuk itu.
Kuasa pada Agong
Semalam, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang memberi pandangan
berhubung polemik mengenai parlimen perlu bersidang segera.
Katanya, perdana menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong
melanggar Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan kerana di bawah peruntukan itu
baginda bertanggungjawab memanggil parlimen dalam masa enam bulan daripada
tarikh akhir persidangan parlimen yang lalu.
"Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar
perlembagaan dan sumpah jawatan," kata Tengku Razaleigh dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Noh berkata Seksyen 14 Ordinan Darurat secara spesifik
menggantung operasi perlembagaan dalam hal memanggil atau memprorog atau
menangguh sidang Parlimen.
"Kuasa itu diletakkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
ARTIKEL BERKAITAN:
- AGONG: Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin
- Majlis Raja-Raja: Tiada keperluan sambung darurat selepas 1 Ogos
- Agong tak tetap bulan berapa buka Parlimen, kata Takiyuddin
- UMNO sokong Agong, buka Parlimen, tamatkan darurat, tuntut bantuan untuk rakyat – Zahid
- Agong, Raja-Raja tak puji pentadbiran PN – Najib
- Agong suruh segerakan sidang Parlimen, pemimpin PPBM kata macam binatang politik
- Takiyuddin mungkin dipanggil beri keterangan, kata Hamzah
- DARURAT: Agong boleh arah parlimen bersidang tanpa nasihat PM
- Ahli Parlimen boleh bersidang dalam kilang sebab sana selamat – Najib
- Buka Parlimen dalam masa 14 hari, atau... – Zahid
- PAS dikecam cuba ajar Agong, Majlis Raja-Raja
- TERKINI: Mesyuarat UMNO putus keluar dari kerajaan PN dalam masa 14 hari
Join our Telegram Channel