Buka Parlimen dalam masa 14 hari, atau... – Zahid



KENYATAAN MEDIA

1. UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

2. Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.


3. Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.

4. UMNO berpendirian tegas untuk mendesak Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.


5. Kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.

6. Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
21 Jun 2021


 




Join our Telegram Channel
Telegram