Hantaran Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob di laman sosial tentang “pintu
depan” mengundang seribu tanda tanya di alam maya.
Dilampirkan bersama gambarnya - yang juga menteri kanan (kluster keselamatan)
- sedang menutup pintu pejabatnya. Hantaran yang disertakan kapsyen tergantung
itu mengundang teka-teki.
“Saya dah tutup pintu depan tapi ....................” katanya disertai emoji
sedih.
Meskipun hantarannya itu tidak merujuk kepada sesiapa atau menyebut mana-mana
keadaan, di ruangan komen, nampaknya ramai juga warga maya mempunyai tafsiran
sendiri terhadap kata-kata tersirat ahli parlimen Bera itu.
“Datuk harus teruskan bersuara agar menteri yang lain itu dengar masalah yang
berlaku. Selagi sektor kilang dibuka maka lockdown (sekatan pergerakan) kali
ini umpama tiada erti pada rakyat.
“Fikir-fikirkanlah Datuk. Jangan biarkan diri Datuk dipersalahkan oleh rakyat.
Kerana satu kutu habis semua jadi mangsa,” tulis seorang warganet di hantaran
tersebut.
“Pintu belakang kilang banyak,” tulis seorang lagi.
“Tapi ada ‘menteri sektor’ itu buka pintu belakang,” tulis yang lain pula.
Telahan warganet itu dipercayai merujuk kepada kebenaran beroperasi kepada
sebahagian besar perkhidmatan perlu dalam sektor perkilangan, meskipun negara
kini sedang dalam pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) sejak
semalam.
Pada 30 Mei, Ismail Sabri mengumumkan semua sektor ekonomi dan sosial tidak
dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh, kecuali 17 sektor
yang dianggap perkhidmatan perlu.
Kilang juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu, melainkan
perkhidmatan perlu mengikut sektor tertentu di bawah 12 kategori.
Pada 31 Mei, Putrajaya memutuskan mana-mana perniagaan yang ingin beroperasi
dalam tempoh "total lockdown" 14 hari bermula semalam boleh mendapat
pengecualian daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(Miti).
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), Miti akan berfungsi sebagai pusat
sehenti untuk mengeluarkan surat yang membolehkan perniagaan beroperasi dalam
tempoh "total lockdown".
Kebenaran pembukaan kilang tertentu beroperasi sebelum ini mengundang kritikan
beberapa ahli politik, antaranya Najib Razak yang mendakwa dengan pembukaan
sesetengah sektor, banyak lagi kilang atau sektor lain yang berkaitan akan
turut dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Dia meminta kerajaan tidak membiarkan PKP kali ini menjadi separuh masak -
seperti sebelum ini - dan agar total lockdown kali ini tidak menjadi “tiga
suku lockdown”.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menggesa Menteri Kanan Ekonomi
Azmin Ali tampil menjelaskan isu penentuan sektor perkhidmatan penting semasa
sekatan pergerakan terbaru, yang turut disokong Ketua Penerangan Umno Shahril
Hamdan.
Join our Telegram Channel