TERKINI: Nazri Aziz 'mastermind' kumpul SD sokong Hishammuddin



SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membuat pendedahan eksklusif kepada Sinar Harian bahawa beliau merupakan ‘mastermind’ dalam mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memberi sokongan terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun Mohamed Nazri mengakui, gerakan mengumpul SD itu bukanlah bertujuan untuk menukar Perdana Menteri sebagaimana didakwa segelintir pihak.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendedahkan gerakan itu adalah semata-mata memberi mandat kepada Ahli Parlimen Sembrong berkenaan bagi menjadi jurucakap kepada 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, gerakan kumpul SD itu atau lebih dianggap ‘akuan mandat ahli-ahli Parlimen BN’ adalah bertujuan menjelaskan pendirian sebenar mereka berhubung sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Seri Paduka Baginda.


“Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu, setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu.

“Yang ‘sign’ SD ini melibatkan 25 ahli Parlimen BN daripada keseluruhan 41 orang.

“Tujuannya disebabkan kami sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengakui ada usaha mengumpul SD dalam kalangan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mengambil alih kerajaan.

Bercakap dalam temu bual yang disiarkan portal Malaysiapost pada 20 Jun lalu, Ahmad bagaimanapun berkata dia sendiri tidak didekati oleh mana-mana individu untuk menandatangani SD berkenaan.


Ahli Parlimen Pontian itu juga tidak menyatakan secara lanjut berkenaan usaha itu serta ahli Parlimen atau pemimpin yang terlibat.

Pada Selasa, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii menafikan pembabitan UMNO dalam usaha mengumpul tandatangan akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mengambil alih kerajaan.

Mengulas lanjut punca 25 ahli Parlimen BN hilang keyakinan terhadap Ahmad Zahid, Mohamed Nazri mendedahkan tindakan Presiden UMNO yang mengemukakan surat sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri baharu sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada bulan September tahun lalu, amat mengecewakan mereka.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat Ahmad Zahid tanpa pengetahuan majoriti ahli Parlimen BN, sekali gus menimbulkan rasa curiga ahli-ahli Parlimen berkenaan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diyakini akan mengulangi perbuatan sama, sekali lagi pada kali ini.

“Berikutan itu, kami bersetuju memberi mandat kepada Hishammuddin untuk menjadi jurucakap ahli-ahli Parlimen BN bagi memberi penegasan sebenar bahawa kami tidak pernah dan tidak akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.


“Sekali lagi saya tegaskan usaha kumpul SD itu bukan bertujuan untuk jatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau tukar kerajaan baharu.

“SD itu sudah diserahkan kepada Hishammuddin setelah dikumpulkan, namun sama ada beliau telah dipanggil untuk menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong…saya tidak pasti,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat usaha mengumpul tandatangan SD ahli Parlimen daripada kem Pakatan Harapan (PH), Mohamed Nazri menegaskan beliau tidak tahu-menahu mengenainya.

“Itu saya tidak tahu. Gerakan kita hanyalah untuk menjelaskan pendirian sebenar ahli-ahli Parlimen BN kepada Yang di-Pertuan Agong dan menolak sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, sumber ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendedahkan kem PH diketuai Anwar sendiri difahamkan turut melaksanakan gerakan mengutip tandatangan SD bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.


Dakwa pemimpin UMNO berkenaan, kutipan SD ahli-ahli Parlimen kemudiannya dipersembahkan Ahli Parlimen Port Dickson itu terhadap Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi pertemuan Seri Paduka Baginda dengan ketua-ketua parti politik di Istana Negara bermula 9 Jun lalu.

“Saya difahamkan Anwar mempersembahkan SD mengandungi tandatangan 115 ahli Parlimen termasuk ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Yang di-Pertuan Agong, dengan harapan beliau diangkat menjadi Perdana Menteri baharu.

“Bagaimanapun, kami dimaklumkan Istana Negara kemudiannya melakukan verifikasi SD berkenaan dan mendapati berlaku pertindihan tandatangan ramai ahli Parlimen dengan sebuah lagi SD dikemukakan Hishammuddin.

“Secara mudahnya, gerakan kutipan satu lagi SD daripada ahli-ahli Parlimen kerajaan sebenarnya bertujuan mempertahankan Muhyiddin dan menghalang cita-cita Anwar daripada menjadi Perdana Menteri,” katanya. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram