KERJA GILA: Pakcik ni minum Clorox dakwa boleh bunuh Covid



PETALING JAYA – Sebuah klip video yang memaparkan seorang lelaki warga emas minum air yang dicampur cecair peluntur tular di laman Twitter sejak semalam.

Video berdurasi 1 minit 16 saat yang ditonton lebih 590,000 kali itu sudah lama tersebar melalui aplikasi WhatsApp namun ia kembali tular selepas dimuat naik di pelbagai saluran media sosial, baru-baru ini.

Berdasarkan video itu, dapat dilihat lelaki berkenaan pada mulanya menuang satu penutup cecair peluntur ke dalam gelas plastik kecil mengandungi air berkarbonat sebelum mengacaunya.


Kelihatan air berwarna merah itu bertukar menjadi jernih selepas dimasukkan cecair peluntur sebelum dia memasukkan satu penutup lagi cecair peluntur ke dalam gelas berisi air teh susu.

Lelaki itu kemudiannya minum air tersebut sambil diperhatikan beberapa orang lagi seolah-olah dia telah biasa melakukannya.

Berdasarkan gaya percakapan lelaki itu berkemungkinan dia berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.

Klip video tersebut turut mendapat perhatian pengasas laman sosial perubatan tempatan, MEDTweetMY, Dr. Khairul Hafidz yang menasihati masyarakat supaya tidak meniru perbuatan tersebut.


“Tuan, puan, adik, kakak, abang, pak cik, mak cik, datuk, datin, saya ingin menekankan dengan serius peluntur tidak akan boleh merawat Covid-19.

“Nanti yang minum peluntur yang akan dirawat akibat kesan sampingan,” tulisnya di laman Twitter beliau.

“Lihat video, beginilah bapa saya percaya sekarang dia suruh saya kunyah bunga cengkih katanya petua hilangkan Covid-19, tolonglah saya,” ujar seorang netizen. – Kosmo



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram