PUTRAJAYA 23 Jun – Syarikat kredit komuniti atau pemberi pinjam wang yang
berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
dibenarkan beroperasi dalam tempoh fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP), berkuat kuasa serta-merta.
KPKT berkata keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis
Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Susulan itu, KPKT berkata syarikat kredit komuniti atau pemberi pinjam wang
perlu membuat permohonan baharu kebenaran pengoperasian menerusi
www.miti.gov.my dengan mengakses portal COVID-19 Intelligent Management System
(CIMS) 3.0 melalui pautan notification.miti.gov.my, berkuat kuasa hari ini.
“Syarikat hanya dibenar beroperasi setelah mendapat kelulusan sistem CIMS,”
kata KPKT dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi syarikat kredit komuniti di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan
Labuan, kebenaran beroperasi perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkenaan
seperti Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak dan
Perbadanan Labuan.
Menurut KPKT, beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dikemas kini bagi
sektor berkenaan, antaranya waktu operasi dan waktu bertemu pelanggan dihadkan
dari 9 pagi hingga 5 petang dan hanya dua pelanggan dibenarkan berada di dalam
premis pada satu-satu masa.
“Pelanggan digalakkan untuk membuat janji temu sebelum mengunjungi premis bagi
mengurangkan bilangan pelanggan yang beratur, manakala kapasiti pekerja adalah
terhad kepada 60 peratus kehadiran pekerja termasuk operasi dan pengurusan,”
kata KPKT.
Menurut KPKT, pihak berkenaan wajib menyediakan kemudahan QR Code MySejahtera,
buku pendaftaran kehadiran pelanggan dan diwajibkan mendaftar masuk di
MySejahtera atau menulis secara manual bagi kawasan yang tiada capaian
Internet atau pelanggan yang tidak mempunyai telefon pintar.
“Pelanggan yang mempunyai suhu melebihi 37.5 Celcius atau menunjukkan simptom
seperti sakit tekak, batuk, selesema, sesak nafas tidak dibenarkan memasuki
premis,” kata KPKT.
KPKT berkata syarikat kredit komuniti perlu memaklumkan segera kepada KPKT dan
merujuk kepada SOP MKN dan Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat kakitangan
atau pelanggan yang disahkan positif COVID-19.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel