Moratorium: Kami sudah nak mati – Ameer Mydin



Majoriti peniaga-peniaga sektor peruncitan di negara ini terutama peniaga Melayu sudah ‘hampir mati’ selepas kerajaan melaksanakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Keadaan menjadi getir, sukar dan meruncing apabila kerajaan tidak melaksanakan moratorium automatik bagi segmen pembiayaan kepada semua jenis perniagaan.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin yang kecewa dengan situasi semasa mendakwa kerajaan sebenarnya tidak mengetahui keadaan sebenar peniaga-peniaga yang sudah habis daya untuk menyelamatkan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, Kementerian Kewangan memaklumkan institusi perbankan tidak boleh memberi moratorium secara automatik sebaliknya perlu melakukan permohonan, hakikatnya prosesnya amat sukar.


“Bukan senang ya hendak memohon moratorium pada bank. Terlalu banyak karenah birokrasi terpaksa dilalui oleh peniaga-peniaga.

“Dalam keadaan ramai peniaga buntu, bank-bank mahu kami mengemukakan penyata akaun, minta peniaga buat unjuran perniagaan serta pelbagai salinan perlu dikemukakan. Ini belum lagi peniaga ditekan dengan pertambahan kadar faedah.

“Paling tragis apabila panggilan telefon kami tidak diangkat, alasannya kerana kakitangan bank tidak bekerja di pejabat,” kata beliau kepada MG .

Ameer yang juga Penasihat Business Survival Group mempersoalkan ketika peniaga-peniaga berskala mikro dan sederhana dalam keadaan susah tatkala ini, mengapa institusi perbankan masih memaksa peniaga-peniaga melalui semua birokrasi ini.

Soal beliau, mengapa kerajaan tidak mengarahkan bank-bank memberi moratorium automatik kepada peniaga yang berhutang kerana logiknya perniagaan-perniagaan memang terjejas apabila dipaksa tutup atas arahan kerajaan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.


Beliau yang juga Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad (Mydin) berkata, jualan pasar rayanya merekodkan penyusutan sebanyak 25 peratus sejak PKP Penuh yang sedang berkuatkuasa sejak 1 Jun lalu.

Penyusutan sebanyak 15 peratus disebabkan Mydin tidak boleh menjual barang-barang bukan keperluan dan bakinya kerana had pergerakan 10 kilometer, selain perbelanjaan domestik yang menurun kerana pendapatan boleh guna orang ramai semakin berkurangan akibat daripada pandemik Covid-19.

“Itu baru kes di Mydin. Saya dimaklumkan perniagaan di pusat-pusat beli-belah juga menjunam sebanyak 95 peratus.

“Baki 5.0 peratus pun disebabkan masih ada kedai yang boleh membeli melalui dalam talian.

“Manakala sektor makanan dan minuman pula mengalami penyusutan antara 15 hingga 29 peratus kerana tidak boleh dine-in. Mujur boleh pick-up dan belian melalui dalam talian.

“Apa yang boleh saya katakan ramai yang sudah lingkup,” ujarnya.


Mengulas lanjut, Ameer menegaskan, dalam keadaan sekarang, institusi perbankan sewajarnya memberi pertimbangan moratorium automatik bagi semua pembiayaan termasuk perniagaa mikro, kecil, sederhana dan besar kerana kesan Covid-19 berantai.

“Peniaga besar juga ada komitmen hutang. Contohnya peniaga besar yang memiliki premis perniagaan juga bayar hutang.

“Setidak-tidaknya jika bank memberi moratorium kepada peniaga besar, peniaga sederhana, kecil dan mikro akan mendapat manfaat dalam aspek pengecualian sewa premis atau sebagainya,” tambah beliau.

Ameer kecewa kerana sejak pelaksanaan PKP awal lagi, Kementerian Kewangan tidak pernah menemui persatuan-persatuan perniagaan untuk mendalami masalah yang dihadapi, kecuali Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Lebih membimbangkan, sehingga hari ini kerajaan masih belum ada pelan tindakan pasca Covid-19 buat peniaga-peniaga tempatan.

“Perniagaan sudah lingkup dan keadaan hampir mati tetapi mana pelan tindakan untuk menyelamatkan kami.

“Apa rancangan kerajaan untuk bantu kami bangun semula? Kami perlulah sokongan modal untuk bangun semula.

“Berapa banyak dan kepada siapa kami perlu dapatkan nanti. Itu belum masuk isu proses-proses yang perlu dilalui” soal beliau lagi.


Beliau berkata, runtuhnya sektor perniagaan negara bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh kerajaaan kerana sejak PKP penuh ini seramai 20 peratus pekerja sudah dibuang, menjelang Julai nanti mungkin bertambah kepada 30 peratus dan 50 peratus pada Ogos nanti.

Lebih daripada itu, katanya, apabila banyak perniagaan mikro, kecil dan sederhana runtuh bermakna negara gagal dalam melaksanakan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera yang dibangunkan lebih 60 tahun lalu.

Usaha itu bukan dilakukan sekelip mata dan alangkah ruginya jika ia tidak dipertahankan dan ‘dipelihara’ dengan sebaik mungkin kerana pelaburan yang pernah dikeluarkan bagi membangunkan peniaga-peniaga Bumiputera bukan kecil dan juga bukan mudah.

“Lagipun, ‘killing businesses’ bermakna akan menyukarkan kerajaan pada masa depan kerana tidak dapat meraih pendapatan daripada sektor-sektor perniagaan dalam bentuk cukai dan sebagainya,” kata Ameer lagi. – MG




Join our Telegram Channel
Telegram