Tajuddin dikompaun RM1,500 tak pakai pelitup muka ketika sidang media



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika sidang media mengenai kemalangan dua tren LRT bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, bekas pengerusi Prasarana Malaysia Berhad itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.


“Tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tajuddin dikritik pelbagai pihak kerana memakai pelindung muka tanpa pelitup muka serta kenyataan tidak sensitif beliau dalam sidang media 25 Mei lalu.


Satu petisyen dalam talian menggesa beliau meletak jawatan dilancarkan selepas itu kerana ramai yang menyifatkan sidang media berkenaan sebagai “bencana” perhubungan awam.

Beliau dipecat daripada jawatan pengerusi Prasarana keesokan harinya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram