Takiyuddin mungkin dipanggil beri keterangan, kata Hamzah



PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan bagi merakamkan keterangan berhubung dakwaan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, ia susulan laporan polis dibuat pihak pembangkang termasuk dari Pakatan Harapan (PH).

“Saya dah maklum bahawa sesiapa sahaja yang melakukan penghasutan yang boleh menyebabkan sesuatu kurang senang dan apabila ada laporan dan aduan dibuat polis akan siasat.


“…sebab itu kita nak anda (wartawan) bagi maklumat jelas kepada saya, kadang-kadang (maklumat) anda tak jelas menyebabkan orang lain kena masalah. Jadi bila ada maklumat jelas kita akan siasat apa yang sebenarnya yang dicakap,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya hari ini.

Katanya, siasatan oleh pihak polis juga dibuat tanpa mengira darjat seseorang itu.

Beliau turut mengingatkan sesuatu isu itu apabila diungkapkan mungkin kadang kala disalah tafsir oleh sesetengah pihak menyebabkan pemahaman berbeza berlaku.


“Penerimaan orang dan takrifan sesuai isu itu menyebabkan akhirnya berbeza (fahaman), biarlah polis siasat, apa yang dia (Takiyuddin) cakap dan apa penerimaan orang,” katanya.

Semalam Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin mendesak polis menjalankan siasatan terhadap Takiyuddin yang didakwa mempersenda Agong.

Ini susulan kenyataan Takiyuddin memberi bayangan bahawa masanya ‘sudah hampir’ untuk Parlimen bersidang selepas Agong menitahkan persidangan perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram