Tetapkan tarikh tutup pendaftaran vaksin – Wan Saiful



Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan meminta kerajaan menetapkan tarikh tutup pendaftaran program vaksinasi Covid-19.

Ini katanya bagi mengelakkan orang ramai mengambil sikap sambil lewa dan segera mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

"Dengan penetapan tarikh tutup itu saya yakin lebih ramai rakyat merasakan penting untuk mereka bersegera mendaftar sekarang.

"Jika ada tarikh tutup, semua usaha kerajaan dan NGO boleh digembeling untuk menjayakan kempen pendaftaran vaksinasi dalam tempoh masa yang ditetapkan. Individu pun akan pandang lebih serius. Maka usaha semua pihak akan jadi lebih berfokus," katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful berkata setakat ini peratusan rakyat yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin masih belum memuaskan.


"Tidak dinafikan mungkin ada rakyat kita yang menghadapi masalah untuk mendaftar. Pelbagai bentuk usaha "outreach" sedang dan perlu dibuat oleh kerajaan untuk membantu mereka mendaftar.

"Tetapi ramai juga yang masih mengambil sikap sambil lewa, mahu tunggu dan lihat dahulu sebelum mendaftar. Ada yang ambil mudah, asyik bertangguh daripada mendaftar.

"Di samping itu ada pula dakyah golongan anti-vaksin. Semua ini menyebabkan kadar pendaftaran masih rendah," katanya.

Menurutnya lagi kerajaan memerlukan data pendaftaran untuk memudahkan urusan logistik dan perancangan agihan vaksin.

"Jika semua kita sudah mendaftar, barulah kita akan ada data yang tepat mengenai taburan sebenar para penerima," tambahnya.

Sehubungan itu Wan Saiful menyeru orang ramai segera mendaftar kerana vaksinasi merupakan satu-satu cara untuk memerangi wabak Covid.


"Kita mesti memandang serius keperluan untuk mendaftar diri dan keluarga untuk mendapatkan vaksin.

"Vaksinasi adalah antara perkara paling penting dalam "exit strategy" kita menghadapi wabak ini," katanya.

Persatuan Perubatan Malaysia sebelum ini juga menyuarakan pandangan serupa dengan harapan dapat mempercepat program vaksinasi.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kerajaan tidak akan menetapkan tarikh tutup walaupun kadar pendaftaran yang rendah untuk mendapatkan vaksin.

CodeBlue melaporkan pendaftaran vaksinasi di negara ini mulai meningkat dengan mencapai lebih daripada separuh populasi dewasa pada 7 Jun setelah tiga bulan sejak pendaftaran dibuka.

Setakat semalam, seramai 1,331,262 individu telah melengkapkan penerimaan dua dos vaksin Covid-19, manakala seramai 3,030,096 individu telah menerima dos pertama. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram