Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktaraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad
Ismail mengumumkan akan meletakkan jawatan selaku presiden badan induk itu
berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam ini.
Perkara itu diumumkan oleh Ahmad atau dikenali dengan 'Tok Mat' pada sesi
sidang media khas di sini malam ini.
Ahmad Ismail berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap apa
yang berlaku kerana PSM perlu dipertahankan.
Katanya lagi, beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli gabungan termasuk
ahli yang tidak menyokongnya sejak dari 2014 dan mereka yang memberi sokongan
selama ini.
"Saya merayu pada mereka yang sudah keluar daripada PSM untuk kembalilah pada
PSM. Carilah kata sepakat kedamaian untuk cari titik penyelesaian.
"Jika ada masalah, saya berjanji saya akan selesaikan. Tapi tolonglah
selamatkan PSM. Tak mengapa saya dimaki, dicaci atau dihina. Saya
bertanggungjawab dan berkorban untuk selamatkan PSM," katanya.
Tegas Ahmad, masalahnya dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) biarlah
mahkamah tentukan dan mengenai pertelingkahannya dengan Presiden Astaf, Halim
Kader, beliau tidak mahu ulas panjang.
Terdahulu, Tok Mat dijatuhkan hukuman penggantungan selama 15 tahun daripada
Astaf apabila didakwa menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan
salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di atas kapasitinya
sebagai Timbalan Presiden Astaf pada 24 Februari.
Bagaimanapun tindakan Ahmad mengambil pendekatan berdiam diri terhadap tempoh
rayuan 14 hari, selain arahan untuk melunaskan kos perbicaraan ke atasnya yang
berjumlah AS$25,000 (RM103,625) diputuskan Astaf sejak 6 Mei tidak dijelaskan,
menjadikan tempoh hukuman penggantungannya kini menjadi 17 tahun berbanding 15
tahun sebelum ini.
Join our Telegram Channel