PETALING JAYA: Bapa kepada empat anak sanggup menjadikan anak kandung sebagai pemuas nafsu serakah ketika isterinya keluar bekerja dalam kejadian di Pasir Puteh, Kelantan.
Bagaimanapun suspek berjaya ditahan polis semalam selepas mangsa yang berusia 16 tahun membuat laporan mengenai perbuatan terkutuk bapanya itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Mohd Azmir Damiri berkata, suspek berusia 51 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Merkang.
Katanya, mangsa turut mendedahkan dia dirogol suspek beberapa kali sebelum ini dalam tempoh tiga bulan lalu.
“Mangsa tinggal sekeluarga bersama ibu dan tiga adik beradik lain. Siasatan awal mendapati suspek masuk ke bilik mangsa untuk melakukan perbuatan itu.
“Mangsa dirogol selepas ibunya keluar bekerja manakala adik-beradiknya yang lain masih tidur.
“Dia turut memberitahu sudah dirogol beberapa kali sebelum ini dalam tempoh tiga bulan lalu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Azmir berkata, mangsa tidak pernah mendedahkan kejadian itu kepada orang lain kerana bimbang dipukul dan dimarahi suspek.
Join our Telegram Channel