Ingkar SOP: 465 ditahan, 60 premis diarah tutup



PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan seramai 465 diberkas dengan 438 daripadanya dikompaun manakala 27 lagi direman.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 60 premis meliputi masing-masing 12 kilang, 40 premis perniagaan dan lapan tapak pembinaan juga diarahkan tutup oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan kerana didapati masih lagi ingkar SOP.


“Pasukan tersebut melakukan pemeriksaan ke atas 1,736 kilang, 15,572 premis perniagaan, 990 tapak pembinaan dan 344 asrama penempatan pekerja,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, seramai 14 pendatang tanpa izin turut ditahan dan empat kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

Menyentuh isu kuarantin wajib katanya, seramai 380 individu tiba di tanah air dengan jumlah kumulatif 256,907 diarahkan untuk menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai 2021.


“Sejumlah 9,280 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Hishammuddin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 624 peruncit, 156 pemborong dan 32 pengilang selain melakukan sejumlah 2,039 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 10 premis yang terbabit dikenakan kompaun. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram