Kit Siang mohon maaf hina kerajaan Allah



KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang memohon maaf secara terbuka ekoran kenyataannya mempersoal ‘Kerajaan Allah’ dalam hantaran media sosial miliknya semalam.

Beliau berkata ketika membaca satu laporan media, beliau berpandangan ‘Kerajaan Allah’ yang disebut oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang merujuk kepada kerajaan Islam termasuklah kerajaan Perikatan Nasional yang sering mendakwa mereka adalah “Kerajaan Melayu-Islam”.

“Saya telah dimaklumkan bahawa saya telah silap dalam pemahaman saya mengenai apa yang dikatakan oleh Hadi Awang dan beliau bukan merujuk kepada ‘kerajaan Islam’.


“Atas kesedaran ini, saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut yang berdasarkan pemahaman yang salah mengenai kenyataan Hadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang baru-baru ini memuat naik satu kenyataan bahasa Inggeris dalam laman Facebooknya yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Beliau menulis, ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be ‘Allah’s government’,”.

Terjemahan:

Jika “Kerajaan Allah” adalah sebaik-baik kerajaan dalam Pandemik Covid-19, mengapa Malaysia adalah yang terakhir dalam indeks normal global Ekonomi ketinggalan kepada negara-negara yang tiada satu pun yang boleh mengaku sebagai “Kerajaan Allah”.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi bahawa Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna’ boleh menghapuskan virus itu.


Kata Kit Siang, beliau tidak berniat untuk mepersoalkan mana-aman agama atau kepercayaan.

“Niat saya hanyalah untuk menulis respons kepada apa yang dilaporkan sebagai kenyataan Hadi,” katanya lagi.

Sebelum ini, pelbagai pihak antaranya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menganggap perbuatan Kit Siang yang menulis ‘kerajaan Allah’ bagi menggambarkan pimpinan negara sekarang amat biadap dan kurang ajar serta mesti diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Malah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Kit Siang yang secara jelas telah menyeleweng ‘tazkirah maya’ Presiden Pas sekaligus secara terangan mempersenda umat Islam. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram