Seorang pemimpin Pemuda PAS memberikan pujian kepada Najib Razak dan
berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar mendengar pandangan
diberikan bekas perdana menteri berkenaan.
Malah pada pandangan Ahmad Fadhli Shaari, untuk memahami keadaan semasa
dialami kerajaan PN, dia "suka" melihatnya dengan bersandarkan hujah diberikan
Najib.
Malah kata Ahmad Fadhli lagi, semua fakta yang diperlukan dalam berhujah itu
"ada dalam kepala" Najib.
"Cadangan-cadangan Datuk Seri Najib itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
"Beliau merupakan bekas perdana menteri, fakta semua ada dalam kepalanya.
"Beliau ada fakta, beliau ada hujah dan sebagainya. Jadi kerajaan perlu
mengambil kira pandangan-pandangan yang dikeluarkan," katanya dalam satu
wawancara politik di Facebook.
Klip video membabitkan timbalan ketua Pemuda PAS merangkap ahli parlimen Pasir
Mas itu dikongsi Najib di Facebook hari ini.
Mengulas pujian Ahmad Fadhli itu Najib pula - secara sinis - menyatakan rasa
terkejut apabila dia tidak dianggap sebagai penghasul atau gemar memburu like
daripada pengikut media sosialnya
"Eh? Rupanya saya bukan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan saja ataupun
sekadar buat posting syiok sendiri untuk dapat like.
"Apa pun, terima kasih YB sebab follow FB saya," tulis Najib.
Boleh tolak ke tepi
Selain pembangkang, ahli politik yang tekal mengkritik kerajaan PN - pimpinan
Muhyiddin Yassin - ialah Najib, serta beberapa tokoh Umno. Misalnya presiden
parti itu Ahmad Zahid Hamidi, dan setiausaha agungnya Ahmad Maslan.
Untuk rekod suatu ketika dulu Najib adalah presiden Umno dan Muhyiddin menjadi
timbalannya.
PAS adalah satu daripada parti komponen PN dan menyertai gabungan itu selepas
mereka memeterai persefahaman dengan Umno melalui Muafakat Nasional. Umno pula
kekal berada di luar PN.
Kata Ahmad Fadhli, mengenai aspek hasut maya (troll) yang selalu dimuat naik
Najib di media sosialnya, ia boleh diketepikan kerana hujah berfakta ahli
parlimen Pekan itu lebih penting.
"Dan adakah kerajaan ini dalam keadaan yang sangat-sangat fragile (rapuh),
keadaan yang sangat-sangat tidak kukuh dan sebagainya, saya suka baca
hujah-hujah yang dikuarkan oleh bekas perdana menteri kita, berhubung soal
hujah ekonomi.
Join our Telegram Channel