Tugas Ismail Sabri, Hishammuddin dalam jawatan baharu

Ismail Sabri Yaakob (kiri) dilantik menjadi TPM pada Rabu, sementara Hishammuddin Hussein diberi tanggungjawab memegang portfolio ‘kluster keselamatan’.


PETALING JAYA: Hishammuddin Hussein tidak akan mengawasi hal-hal harian berkaitan Covid-19, walaupun mengambil alih portfolio “kluster keselamatan”.

Seorang sumber kerajaan yang enggan dinamakan berkata, Ismail Sabri Yaakob, yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Rabu, masih bertanggungjawab atas perkara tersebut, termasuk sekatan pergerakan.

Beliau juga akan kekal menjadi Menteri Pertahanan, kata sumber berkenaan.


“Ismail akan kekal buat benda sama seperti sekarang, termasuk mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menjalankan taklimat media harian berkenaan sekatan pergerakan,” katanya.

Begitu juga bagi Hishammuddin yang diberikan pangkat “kanan” pada jawatan terkini beliau.


Beliau akan tetap menjalankan tugas biasanya sebagai Menteri Luar, kata sumber.

“Kluster keselamatan” memberi Hishammuddin lebih banyak pengaruh dan locus standi bagi isu-isu keselamatan di peringkat antarabangsa seperti koordinasi dengan badan dan agensi keselamatan asing yang akan diuruskannya.

“Tetapi beliau tidak akan ada kena mengena dengan hal-hal berkaitan wabak, dari segi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), tindakan terhadap mereka yang langgar peraturan serta operasi bersama,” kata sumber itu.


Hishammuddin juga, kata sumber, akan menyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan bekerjasama dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Khairy Jamaluddin, iaitu menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dua hari lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Ismail dan Hishammuddin yang berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Hishammuddin akan mengetuai kluster keselamatan dan akan membantu Muhyiddin dalam pelaksanaan PPN.

Ismail pula dikatakan akan membantu Perdana Menteri mentadbir negara semasa krisis kesihatan dan ekonomi. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram