Tular video deretan van jenazah Covid-19, dah macam di luar negara



SHAH ALAM: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, dengan hampir 50 waris menyaksikan jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 dikebumikan, semalam.

Mereka dilihat sudah pun tiba di situ sejak pukul 5.30 petang untuk memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga walaupun rata-rata mengakui kali terakhir bertemu sekurang-kurangnya dua minggu lalu.

Deretan van jenazah kemudian tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 7.40 malam, dilaporkan 12 jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dikebumikan semalam  menerusi dua pergerakan berasingan menggunakan enam van sama.


Pergerakan van jenazah kedua tiba kira-kira pukul 9.20 malam menjadikan jumlah keseluruhan jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan di tanah perkuburan itu sebanyak 27 orang sejak pagi lagi.

Irwan Tukiman, 39, bersama keluarga antara waris menunggu di sana tidak dapat membayangkan situasi itu perlu dihadapi mereka sekeluarga apabila kali terakhir bertemu bapa yang meninggal dunia pada 4 Julai lalu.

Asalnya, dia tidak menyangka arwah bapanya dibawa ambulans ke hospital kerana kesihatannya serius, sedangkan yang sepatutnya dibawa ke sana adalah abangnya akibat mengalami sesak nafas.

“Ya, video yang viral dalam TikTok itu ayah saya tetapi dia sudah meninggal dunia. Pada 4 Julai lalu, salah seorang ahli keluarga membuat panggilan kecemasan untuk bawa abang yang positif Covid-19 ke hospital kerana sesak nafas. Apabila ambulans tiba, kakitangan kesihatan membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan abang stabil.


“Sebaliknya, ayah saya pula yang dibawa ke hospital menaiki ambulans, apabila petugas membuat pemeriksaan kepada yang juga positif Covid-19. Susulan pemeriksaan, mereka terus mengarahkan ayah dibawa ke HTAR sebelum meninggal dunia di sana Rabu lalu,” katanya pilu ketika ditemui pemberita.

Jelasnya lagi, ketika arwah bapanya mendapat rawatan di situ, seorang pesakit lain membuat rakaman video keadaannya ketika berada di HTAR yang tidak mendapat perhatian daripada petugas berikutan kesesakan pesakit Covid-19 teruk di sana ketika itu.

Sementara itu, Noraziah Mohd. Nor Rezan, 47, bersama suami, Roslan Mahmud, 57, tiba dari Ipoh, Perak untuk memberi penghormatan terakhir kepada ibu mentuanya yang meninggal dunia pada awal pagi kelmarin.

Dia dan suami terkilan terkilan kerana berhasrat menghubungi arwah yang tinggal di Seksyen 27, Shah Alam selepas Maghrib pada Jumaat minggu lepas untuk bertanya khabar keadaan kesihatannya selepas disahkan positif Covid-19, dua hari sebelum itu.


“Tak sempat telefon, sebaliknya kami dapat panggilan daripada salah seorang ahli keluarga memaklumkan arwah emak jatuh dalam bilik air dengan keadaan mulutnya berbuih. Kemudian dia terus dikejarkan ke hospital untuk dapatkan rawatan.

“Arwah emak sebelum ini tak pernah ada masalah sakit lain sama ada kencing manis, darah tinggi dan sebagainya memang langsung tidak ada. Malah dia masih kuat dan boleh berjalan seperti biasa pada usia 83 tahun. Tetapi kami tak sangka Covid-19 menyebabkan organ-organ dalam badannya seperti buah pinggang rosak ketika doktor menelefon dan memberitahu kami,” luahnya.

Utusan Online  difahamkan, kerajaan sedang membantu menguruskan jenazah Covid-19 di Jabatan Forensik HTAR menerusi satu program khas yang dilaksanakan sehingga menjelang Hari Raya Aidiladha. Sementara esok dilaporkan, 12 lagi jenazah dikebumikan di situ.

Pemberita juga dimaklumkan, lebih 160 jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan di tanah perkuburan tersebut sejak wabak pandemik itu melanda negara pada tahun lalu. – Utusan



Please subscribe





















Join our Telegram Channel
Telegram