3 strategi kekang agihan vaksin tidak adil



PUTRAJAYA – Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tampil menggariskan tiga strategi bagi mengekang isu ketidakadilan pengagihan vaksin Covid-19.

Ketika berucap pada Mesyuarat Pertama Forum Kerjasama Vaksin Antarabangsa secara maya hari ini, beliau menyuarakan kebimbangan jurang perolehan bekalan yang agak ketara.


“Keadaan itu mengakibatkan banyak negara membangun tidak dapat melaksanakan program imunisasi ke atas rakyatnya, malah ada tidak cukup bekalan untuk dos pertama,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, antara strategi itu ialah mengenepikan sementara paten hak cipta harta intelektual terhadap vaksin bagi meningkatkan pengeluaran sejagat.

“Prinsip ini berdasarkan kepentingan bahawa setiap negara sepatutnya berhak menikmati hak saksama bagi menghasilkan vaksin sendiri ketika penularan serius pandemik,” jelasnya.


Sementara strategi kedua ialah pengharmonian pensijilan imunisasi yang seragam terutama vaksin diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi memudah cara agensi kawal selia.

Langkah itu ujarnya, bakal melancarkan urusan rentas negara untuk pelancongan, perniagaan dan kemanusiaan serta pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 tanpa kekangan birokrasi.

Tidak dilupakan tambahnya, strategi ketiga iaitu pengekangan maklumat tidak tepat yang disebarkan pihak tertentu sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat tanpa tapisan. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram