219 dikompaun, 60 premis diarah tutup langgar SOP



Kuala Lumpur: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, mengeluarkan kompaun kepada 219 individu kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, operasi yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 itu turut menahan reman 37 individu atas pelbagai kesalahan gagal mematuhi SOP.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 60 premis diarahkan tutup serta-merta kerana melanggar SOP.


"Semalam, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 18,444 anggota melaksanakan 89,183 pemeriksaan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

"Dalam operasi itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 1,620 kilang, 16,873 premis perniagaan, 467 tapak pembinaan dan 166 asrama penempatan pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, Hishammuddin berkata, seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan sembilan kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 690 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam menjadikan kumulatif 268,609 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai 2020.


"Daripada jumlah keseluruhan terbabit, seramai 10,053 orang menjalani kuarantin di pusat kuarantin seluruh negara manakala 3,939 orang dibawa ke hospital dan 254,617 dibenarkan pulang.

Mengenai operasi pemeriksaan khas yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), katanya, sebanyak 3,681 premis didapati mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP juga mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi. – Hmetro

 

Join our Telegram Channel
Telegram