Apa jadi dengan ikrar UMNO? – 'No Anwar, No DAP'



Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menyoal apa jadi dengan dasar "No Anwar, No DAP" yang dibuat kempimpinan Umno sebelum ini.

Persoalan itu dibangkitkan Isham ekoran kesediaan pimpinan Umno pro-Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan DAP selepas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membuat beberapa tawaran semalam.

"Jadi, sebenarnya siapa yang ingin buat jajaran baru dengan PKR dan DAP ini?


"Sebelum ini mereka sembang apa ya? Dulu kan kata "No Anwar, No DAP".

"Sekarang mereka ini apa pun boleh, janji jawatan selamat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam kenyataan itu, Isham juga turut berkongsikan artikel terbit April lalu yang memetik kenyataan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim bahawa "memalukan" jika Umno membentuk jajaran baru dengan PKR dan DAP.

Shahidan menjadi sebahagian pemimpin Umno yang menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan menentang usaha Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada kerajaan.


Muhyiddin - yang kini berdepan tekanan daripada pelbagai pihak ekoran keraguan terhadap dukungan yang diterimanya di parlimen - menggariskan beberapa tawaran kepada semua parti politik.

Berucap pada perutusan khas secara langsung melalui televisyen lewat petang semalam, Muhyiddin antara lain menjanjikan pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal saja.

Dia juga menawarkan cadangan supaya ketua pembangkang mendapat imbuhan setara dengan menteri kanan, serta menggubal undang-undang antilompat parti. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram