Sah Muhyiddin letak jawatan dalam masa terdekat, kata sumber



PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin dijangka meletak jawatan sebagai perdana menteri pada bila-bila masa susulan pusingan U oleh Ahli Parlimen Umno tertentu yang sebelum ini menyokong beliau, kata beberapa sumber.

Beberapa sumber dalam Umno dan Bersatu memberitahu FMT bahawa mereka menjangkakan Muhyiddin akan mengumumkan peletakan jawatannya tidak lama lagi.

“Surat letak jawatan sudah disediakan, namun kami tidak pasti bila beliau akan buat pengumuman,” kata satu sumber yang tidak mahu dinamakan.

Situasi Muhyiddin dilihat kelam apabila pembangkang dan Umno semalam menolak tawaran rentas kepartian sebagai balasan kepada meluluskan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat, menjelang September ini.


Merumitkan lagi keadaan apabila anggota Jemaah Menteri, termasuk menteri Umno dan PAS, menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan Muhyiddin berkenaan, yang mengejutkan mereka.

Kini, difahamkan, beberapa menteri Umno dan PAS sedang mencari cara untuk berpaling daripada Muhyiddin dan dalam masa sama menjaga air muka masing-masing.

“Mood ketika ini begitu suram, dan banyak perbincangan dilakukan sejak semalam. Namun, disebabkan kami tidak mempunyai sokongan majoriti, mungkin cara terbaik untuk keluar daripada kekusutan ini adalah dengan Muhyiddin meletakan jawatan.”

Seorang lagi sumber daripada blok pemerintah mendakwa beberapa Menteri sudah pun “berkemas” sebagai persediaan sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan.

“Menteri saya sudah mengosongkan pejabat sejak semalam. Saya dimaklumkan menteri lain pun sudah selesai berkemas,” kata seorang pegawai yang tidak mahu dinamakan.

Pembantu kepada dua menteri lain turut memberitahu FMT mereka diarah mengosongkan pejabat menjelang 18 Ogos.


Sementara itu, seorang pemimpin kanan Bersatu menggambarkan situasi ketika ini “teruk”.

“Cadangan perdana menteri meletakkan Ahli Parlimen Umno dan PAS yang setia kepadanya dalam keadaan rumit.

“Usaha Perdana Menteri sudah gagal, namun masih ada harapan bagi Perikatan Nasional. Mungkin PM boleh selamatkan keadaan sekiranya dapat sokongan Umno.”

Difahamkan beberapa Menteri Umno menyesal mengingkari arahan parti selepas Perdana Menteri membuat tawarannya.

Bagaimanapun, sumber dalam kem Perdana Menteri berkata Muhyiddin tidak merancang meletakkan jawatan kerana beliau mahu terus memimpin negara sehingga PRU-15.

“Benar beliau berhasrat meneruskan khidmat, terutama menjamin program vaksinasi berjalan lancar. Namun jika Ahli Parlimen tidak menyokongnya, tidak banyak yang dapat kita lakukan,” katanya.

“Kami masih sedia berunding,” tambahnya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram