Gangguan seksual: Siasatan ke atas Ebit Lew diteruskan hingga polis puas hati



KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah mengambil rakaman percakapan daripada pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew hari ini bagi membantu siasatan berkenaan dakwaan gangguan seksual. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan kes tersebut akan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 AKMM 1998 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan juga arahan lanjut.


“Justeru itu, PDRM memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Jelas beliau, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang penyebaran apa jua bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

Terdahulu, Ebit, 36, tiba di Bukit Aman sekitar pukul 8.59 pagi dengan menaiki kereta pacuan empat roda Hilux untuk memberi keterangan berkenaan siasatan kes dakwaan gangguan seksual.


Beliau kemudiannya dilihat keluar bersama peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican dari Bukit Aman kira-kira pukul 2 petang.

Semalam, sumber memberitahu bahawa seorang pendakwah terkenal akan dipanggil Bukit Aman untuk diambil keterangan hari ini berkenaan dakwaan gangguan seksual.

Siasatan kes dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram