Mahkamah Rayuan putuskan kerajaan tak boleh lucut hak jutaan ringgit diberi Najib



PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan tidak boleh melucut hak wang yang disalurkan kepada parti politik dan entiti perniagaan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan sama ada bekas perdana menteri Najib Razak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata, pegawai penyiasat dalam kes salah guna kuasa bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mendedahkan pergerakan wang yang dipindahkan dari akaun Najib dan entiti lain.

“Ini tidak cukup untuk membuktikan kegiatan menyalahi undang-undang dari mana hasilnya didakwa diperoleh,” katanya dalam penghakiman lisan yang membenarkan rayuan oleh Badan Perhubungan Umno Pahang.


Badan Umno negeri itu menerima RM2.5 juta daripada Najib antara 2012 dan 2013.

Prosiding dijalankan secara maya disebabkan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

Panel hakim, yang juga dianggotai Abdul Karim Abdul Jalil dan Abu Bakar Jais, turut menolak rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang yang diberikan atau dibayar kepada Habib Jewels (RM100,000), Umno Kedah (RM1.05 juta), ibu pejabat Umno (RM192.6 juta), Wanita MCA (RM300,000), Binsabi Sdn Bhd (RM777,250), Perano Sdn Bhd (RM337,734) Hattatex Trading (RM111,590) dan K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359).

Mahkamah Tinggi pada akhir 2019 dan awal tahun lepas menolak permohonan pelucutan hak oleh SPRM yang dibuat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Wang yang dirampas SPRM disyaki ada kaitan dengan skandal 1MDB.


Pada 21 Jun 2019, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya berkata, badan anti rasuah berkenaan telah mengemukakan permohonan pelucutan hak sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula RM270 juta yang didakwa dipindahkan dari akaun Najib.

Katanya, permohonan pelucutan hak itu difailkan bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Penerima wang terbesar adalah bahagian dan cawangan Umno yang menerima sejumlah RM212 juta, tambahnya.

Ada antara penerima telah mengembalikan wang tersebut kepada SPRM.

Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana disyaki milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram