Batu Puteh: Adakah kedaulatan Johor tak penting, kalau Langkawi hilang apa rasa orang Kedah, soal Sultan Ibrahim



PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terkilan dengan tindakan kerajaan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 2018 yang tidak meneruskan permohonan semakan serta pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Baginda turut mempersoal adakah soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu.

“Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor…Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya,” katanya di Facebook.


Sultan Ibrahim turut menggesa tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan serta pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Baginda juga mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Mahathir untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita. Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan,” katanya.

Sultan Ibrahim juga mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri menjelaskan punca kerajaan pimpinan Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan.


Baginda turut menggesa tindakan diambil setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan.

“Ini adalah soal kedaulatan kita,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dalam kenyataan memaklumkan kerajaan Johor memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas kerajaan persekutuan.

Penubuhan pasukan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram