KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan laporan media kononnya beliau mendesak supaya Malaysia menuntut semula Singapura dan Kepulauan Riau sebagai tidak tepat.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau tidak pernah meminta supaya Malaysia menuntut semula kedua-dua wilayah tersebut.
Sebaliknya menurut Dr. Mahathir, beliau hanya mahu menunjukkan bahawa rakyat negara ini begitu bimbangkan Pulau Batu Puteh yang kecil berbanding wilayah lain yang telah diambil dari Malaysia.
“Saya cuba menunjukkan bahawa kita begitu bimbang kehilangan batu sebesar meja tetapi tidak pernah mengenai bahagian yang lebih besar di Malaysia apabila ia diambil daripada kita.
“Kehilangan Pulau Batu Puteh bukan masalah besar. Adalah kesilapan Kerajaan Johor menafikan bahawa pulau itu adalah milik Johor. Sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Dr. Mahathir, negara seharusnya bersyukur kerana mahkamah dunia menganugerahkan Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Malaysia dan tidak dituntut semula Indonesia.
Kedua-dua pulau tersebut, menurut Dr. Mahathir adalah lebih berharga berbanding Pulau Batu Puteh yang hanya merupakan seketul batu.
“Kita patut bersyukur kerana Indonesia tidak mempertikaikan anugerah tersebut. Sungguh, kita tidak bersyukur dengan keuntungan yang diperoleh,” kata Dr. Mahathir.
Media sebelum ini melaporkan, Dr Mahathir ketika berucap dalam sebuah kongres pada Ahad lalu berkata, bukan hanya Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh harus dikembalikan, sebaliknya mencadang supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura.
Tegasnya, ia kerana Riau dan Singapura adalah ‘Tanah Melayu’ berdasarkan sejarah.
“Kita seharusnya menuntut bukan sahaja Pedra Branca, atau Pulau Batu Puteh, dikembalikan kepada kita, sebaliknya kita juga harus menuntut supaya Singapura dan kepulauan Riau dikembalikan kepada Malaysia sebagai tanah Melayu,” kata Dr. Mahathir dalam ucapan tersebut.
Malaysia terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Ke-7 membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman, berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan beberapa hari sebelum kes dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.
Sementara itu, Kementerian Luar Indonesia dalam reaksinya menyifatkan kenyataan Dr. Mahathir bahawa Kepulauan Riau sepatutnya menjadi sebahagian Malaysia, tidak mempunyai asas undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Apandi: Ini adalah pendedahan pertama, banyak lagi cerita lain
- Batu Puteh: Adakah kedaulatan Johor tak penting, kalau Langkawi hilang apa rasa orang Kedah, soal Sultan Ibrahim
- Sultan Ibrahim kecam kerajaan sekat pembangunan di Johor bermula tahun 2019Sultan Ibrahim: Ambil tindakan tegas ke atas pihak yang batal tuntutan Batu Puteh pada 2018
- Kehilangan Pulau Batu Puteh bukan masalah besar, ia kesilapan Johor – Dr M
- Pulau Batu Puteh: Dia sultan, bukan hakim –Dr M
Join our Telegram Channel