Najib buat laporan SPRM terhadap bekas pengurus Goldman Sachs



Bekas perdana nenteri Najib Razak pagi ini membuat laporan kepada SPRM terhadap Tim Leissner, yang merupakan bekas pengurus kanan Goldman Sachs yang telah mengaku bersalah di mahkamah AS kerana merasuah pegawai 1MDB dan pegawai kerajaan Malaysia.

Menurut Najib, laporan itu bertujuan mendapatkan senarai pegawai yang disogok Leisner berhubung skandal 1MDB, yang dipercayai boleh membersihkan namanya.

“Awal tahun ini, peguam saya telah memenangi kes di AS untuk mendapatkan senarai nama, yang didedahkan oleh Leissner dalam pengakuan bersalahnya.

“Bagaimanapun, kerajaan AS melalui Jabatan Kehakimannya telah mencabar keputusan mahkamah AS dan menghalang nama daripada didedahkan.


“Pada masa yang sama, seorang peguam dari Brahman and Associates yang mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng telah mengeluarkan kenyataan media mengatakan senarai nama itu adalah ‘bukti ekskulpatori’ yang boleh membersihkan nama saya daripada terlibat dalam penipuan 1MDB,” kata Najib dalam satu kenyataan.

Bekas perdana menteri itu juga telah membacakan kenyataan itu kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya awal hari ini.

Menurut DOJ, Leissner, yang merupakan bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara dan pengarah urusan institusi kewangan itu, telah mengaku bersalah pada 1 Nov 2018 atas pertuduhan jenayah dan diperintahkan untuk membayar wang sebanyak ASD43.7 juta.

Dia mengaku bersalah kerana "bersubahat untuk mengubah wang dan berkomplot untuk melanggar FCPA dengan membayar rasuah kepada pelbagai pegawai Malaysia dan Abu Dhabi serta memintas kawalan perakaunan dalaman Institusi Kewangan".

Awal tahun ini, Najib telah diberikan sepina oleh mahkamah di Daerah Selatan New York, untuk bank itu dan Leissner menyerahkan kepadanya bahan yang dipertikainya sebagai penting untuk pembelaannya terhadap tuduhan jenayah berkaitan 1MDB di Malaysia.


Bagaimanapun, kerajaan AS telah memfailkan penangguhan perintah mahkamah AS kerana ia berusaha untuk campur tangan dalam hal Najib di sana.

Najib dalam kenyataannya hari ini berkata satu lagi percubaan pasukan peguamnya untuk mendapatkan senarai daripada mahkamah dan pendakwaan dalam kes 1MDB juga tidak berjaya.

“Saya hairan mengapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan bertindak seperti mereka tidak tahu (senarai) dan tidak mahu mengambil tindakan terhadap 1MDB dan pegawai kerajaan yang disogok oleh Tim Leissner, yang menyebabkan Goldman Sachs membayar RM16.4 bilion penalti dan pampasan kepada kerajaan Malaysia.

“Saya dinasihatkan dan memutuskan untuk membuat laporan kepada SPRM hari ini terhadap Tim Leissner, supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menyoal atau membawanya ke Malaysia, atau meminta senarai nama daripada DOJ, supaya nama-nama itu boleh disiarkan kepada umum dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka." – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram