PRN: Tiada kerjasama dengan Bersatu kehendak Umno Melaka, tegas Zahid



PETALING JAYA: Keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama antara Umno dan Barisan Nasional dengan Bersatu sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan adalah kehendak pucuk pimpinan negeri itu, tegas Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, keputusan itu juga terpakai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti mana yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Mac lalu.

“Saya fikir itu adalah kehendak kepimpinan Umno di seluruh negeri Melaka. Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka.

“Saya menghormati keputusan PAU2020. Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai presiden perlu menghormati bahawa dalam PRU15 nanti juga kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu,” katanya dalam satu program bual bicara bertajuk PRU15:Membentuk Atau Membina Arus? yang disiarkan di Facebook malam tadi.


Walaupun menyifatkan PRN Melaka sebagai “game changer” kepada Umno menjelang PRU15, jauh di sudut hati Zahid berpendirian pilihan raya berkenaan tidak sepatutnya berlaku ketika pandemik Covid-19.

“Kalau mahu adakan PRN, adakan pilihan raya sama dengan PRU15, selesaikan masalah itu di sana, itu bagi saya secara peribadi. Tetapi oleh kerana Yang di-Pertua Negeri Melaka (TYT) (Ali Rustam) dah isytihar pembubaran DUN, kita kena hormatilah kuasa TYT seperti mana tercatat dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka.

“Dan saya merasakan walaupun PRN tidak boleh dielakkan tetapi biarlah apa yang berlaku di Melaka akan datang ini dijadikan sebagai batu tanda yang baru sama ada sistem demokrasi yang ada sekarang atau sebelum itu dalam rupa bentuk berbeza kerana landskap politik pasti akan berbeza selepas ini,” katanya.

Ketika ditanya punca sebenar tindakan bekas Ketua Melaka Idris Haron bertindak menggulingkan kerajaan parti beliau sendiri, Zahid berkata krisis politik yang tercetus di Melaka angkara cita-cita dan idealisme seseorang dan sifat tidak suka terhadap individu lain.

“Saya tidak mahu menyentuh peribadi tetapi kita lihat apa yang berlaku di Melaka adalah suatu pendekatan bagi melaksanakan cita-cita dan idealisme seseorang dan ketidak sukaannya kepada individu lain.


“ADUN Sungai Udang sudah tentu mempunyai alasan tersendiri, tetapi realiti ialah beliau tidak lagi menjadi ahli Umno ketika ini,” katanya yang menjelaskan sekiranya ADUN atau Ahli Parlimen menjatuhkan kerajaan sendiri, keahlian individu itu akan tergugur dengan sendirinya.

“Kita tidak perlu pecat (Idris) kerana dia gugur dengan sendirinya,” katanya menjawab sekiranya benar Umno memecat keahlian bekas Ketua Menteri Melaka itu.

Idris bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa 4 Okt dan mengumumkan menyokong pembangkang, menyebabkan kerajaan Umno tumbang.

Tiga ADUN terbabit adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram