Bukan spekulasi, SD 4 ADUN telah dibawa keluar dari Melaka



MELAKA: Ura-ura yang mendakwa empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kerajaan Negeri Melaka telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pakatan Harapan (PH) bukanlah spekulasi semata-mata.

Perkara tersebut telah disahkan oleh seorang pemimpin PH negeri kepada Utusan Malaysia, namun enggan namanya disebut dalam laporan.

Pemimpin itu turut mengakui, sehingga semalam, sebanyak enam ADUN kerajaan bersetuju menyertai gerakan berkenaan, namun hanya empat sudah menurunkan tandatangan, manakala dua lagi masih berbelah-bahagi.


Katanya lagi, SD itu sudahpun dibawa keluar dari Melaka kelmarin, diambil oleh seorang pemimpin utama PH bertaraf ahli Parlimen.

“Ahli Parlimen itu datang ambil SD semalam (Sabtu) kira-kira pukul 4 petang. Setakat ini, empat sudah tandatangan.

“Dua lagi masih ‘takut-takut’. Benda ini belum jadi, selagi tidak menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan Negeri dikatakan bergolak ekoran dakwaan ADUN daripada kerajaan difahamkan mahu meninggalkan blok tersebut.


Ekoran perkembangan itu, kerajaan negeri yang dibentuk hasil gabungan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan wakil rakyat Bebas pada Mac tahun lalu kini berada dalam krisis.

Setakat berita ini ditulis, hanya ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Paya Rumput (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menafikan penglibatan mereka dalam usaha tersebut. – Utusan





Join our Telegram Channel
Telegram