BNM lulus pemindahan USD1 bilion selepas diberi sogokan



PETALING JAYA: Bank Negara membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak USD1 bilion dari 1MDB ke PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana, bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner beritahu mahkamah di AS.

Pemindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya. Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu, dan suaminya, Tawfiq Ayman.

Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.

Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.


Dokumen mahkamah yang dilihat FMT menyatakan Leissner pada Selasa memberitahu para juri mahkamah persekutuan, bahawa Ng memberitahunya apa yang dia dengar tentang kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka dapat tahu 1MDB membuat pemindahan itu.

“Malaysia pada 2009 masih mempunyai kawalan modal, yang mana pelaburan sebesar itu harus mendapat kelulusan Bank Negara,” katanya tentang wang keluar itu.

“Satu bilion dolar dihantar dari Malaysia ke usahasama itu, dan pemindahan itu boleh berlaku kerana suami kepada gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.

“Jadi dalam tempoh semalaman wang itu dipindahkan, sesuatu yang pada ketika itu tidak pernah berlaku dahulu. BNM tak pernah memberikan kelulusan sebegitu cepat,” katanya.


Pada November, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura membabitkan akaun syarikat milik suami Zeti dan individu bernama Samuel Goh.

Suami Zeti, dan dua anaknya, mengaku mengetahui tentang wang 1MDB itu, menurut akuan berkanun yang ditandatangani pada Mac 2019.

Wang itu dalam akaun syarikat Cutting Edge Industries di Singapura dan mereka bertiga mengakui pemilik akaun itu.

SD itu, yang dilihat FMT, adalah tulen dan boleh dipercayai, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.

FMT sedang berusaha mendapatkan komen Tawfiq. – FMT





ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram