Fazura raih RM5.4j hasil jual tudung



PETALING JAYA – Pelakon jelita, Nur Fazura berjaya meraih RM5.4 juta dalam tempoh sejam apabila 200,000 helai koleksi tudung terbaharunya, Rahmat Ramadan habis dijual secara online semalam.

Jualan ibarat ‘pisang goreng panas’ itu dilakukan Nur Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 39, ketika menjual pakaian berkenaan yang berharga RM27 sehelai.

“Masya-Allah, tabarakallah. Segalanya milik Allah SWT. Koleksi (tudung) Rahmat Ramadan telah terjual laris sebanyak 200,000 helai dalam tempoh sejam.


“Saya rasa sangat bersyukur atas sokongan orang ramai yang membawa kepada kejayaan yang sangat luar biasa ini,” ujarnya menerusi coretan di Instagram.

Seorang pengguna Twitter pula membuat ciapan berbunyi: “Senang-senang sahaja Fazura dapat RM5.4 juta.”

Menerusi ruangan komen, ramai peminat pelakon itu termasuk rakan selebriti meluahkan rasa kecewa kerana tidak sempat membeli koleksi tudung terbaharu miliknya.


Pelakon Lisa Surihani antara yang tidak sempat menyambar tudung Fazura kerana sudah kehabisan stok.

Bagaimanapun Fazura bermurah hati ingin menghadiahkan tudung miliknya kepada Lisa.

“Adikku mahu yang mana? Saya rela beri kepada awak tudung saya,” katanya.

Terdahulu sekitar Ogos tahun lalu, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu menerusi jenama tudung sama pernah mencatatkan jualan RM2.16 juta selepas keluaran Tudung Fazura berjaya terjual 80,000 helai dalam tempoh dua jam. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram