Ustaz didakwa meliwat pelajar tahfiz menangis di kandang tertuduh



KEMAMAN – Seorang bekas tenaga pengajar bergelar ustaz di salah sebuah pusat tahfiz di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual ke atas enam pelajar lelakinya.

Tertuduh, Muhammad Jamil Abdul Kadir, 23, yang dilihat mengalirkan air mata di kandang tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.


Mengikut semua pertuduhan, dia yang juga merupakan warden asrama melakukan kesalahan tersebut terhadap enam murid berusia 11 hingga 13 tahun di asrama pusat tahfiz tersebut dari Disember tahun lalu hingga awal Februari lepas.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga berdepan dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 377B akta sama.

Muhammad Jamil juga berhadapan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) akta sama.


Hakim Wan Suhaila membenarkan Muhammad Jamil diikat jamin sebanyak RM51,000 bagi semua pertuduhan dan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan agar tertuduh dilarang mengganggu dan mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga prosiding kes selesai dibicarakan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram