PANAS: 60 ahli PKR masuk UMNO, hilang kepercayaan terhadap parti



KLUANG: Menjelang empat hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima khabar positif apabila kira-kira 60 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyertai mereka.

Sebahagiannya yang merupakan pengundi baharu dan golongan muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang itu berbuat demikian setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap parti.

Bekas Ketua AMK Ranting Kahang, Mohd. Syahrul Ikmal Abu Othman, 26, berkata, dia menyertai PKR sejak 2013 dan sempat membantu dua kempen parti itu pada pilihan raya sebelum ini.


“Saya mewakili semua anak-anak muda ini hilang kepercayaan terhadap PKR bermula di peringkat ranting, cabang, negeri dan Pusat kerana mereka bukanlah parti yang membantu rakyat.

“Perkara ini saya lihat ketika kita dilanda Covid-19 dahulu, pemimpin-pemimpin parti itu tidak ada pun tampil membantu penduduk yang terjejas seperti dilakukan UMNO.

“Maka, kami sebulat suara mengumumkan keluar PKR serta-merta dan  memberi sokongan terhadap calon BN di Kahang iaitu R. Vidyananthan pada PRN Johor nanti,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Syahrul mewakili kumpulan anak muda itu turut menyerahkan borang permohonan untuk menyertai UMNO kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abd. Ghani Abd. Rashid sambil disaksikan Vidyananthan.


Katanya, keahlian AMK Ranting Kahang yang diaktifkan olehnya memiliki kira-kira 100 ahli berdaftar dan kini lebih separuh daripada mereka meninggalkan parti terbabit.

Sementara itu, Abd. Ghani berkata, kumpulan anak-anak muda itu akan dibawa bersama sebagai satu pasukan dalam UMNO-BN setelah mereka sedar pilihan sebelum ini salah.

“Saya secara peribadi kenal sebahagian besar anak muda ini yang mana mereka asalnya juga adalah daripada keluarga UMNO. Jadi, memang pilihan tepat apabila mereka kembali bersama kita kali ini” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram