Dua tapak simpanan Petroleum Saudi Aramco terbakar dibedil pemberontak Houthi (8 gambar)



Ketika peminat sukan permotoran dunia sedang fokus pada perlumbaan Formula 1 di Litar Jeddah Corniche, dua tangki simpanan minyak milik Saudi Aramco mengalami kebakaran teruk disebabkan satu serangan udara.

Menurut jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea berkata kumpulan itu mengaku telah melancarkan peluru berpandu pada hari Jumaat di fasiliti penyimpanan minyak Aramco di Jeddah dan serangan dron di kilang penapisan Ras Tanura dan Rabigh.

Beliau juga berkata berkata mereka juga menyasarkan ‘kemudahan penting’ di ibu negara Riyadh.

Houthi yang bersekutu dengan Iran telah meningkatkan serangan ke atas kemudahan minyak kerajaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan menjelang gencatan senjata buat sementara waktu untuk menyambut bulan suci Ramadan pada hujung minggu hadapan.


Kementerian tenaga Arab Saudi berkata pihak kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya ‘serangan sabotaj’ itu dan beliau mengulangi bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang gangguan bekalan minyak global akibat daripada serangan sedemikian, lapor agensi berita antarabangsa.

Pada masa sama, pihak kerajaan juga menyalahkan Iran kerana terus membekalkan senjata kepada pemberontak Houthi dengan peluru berpandu balistik dan dron canggih.

Bagaimanapun, Tehran menafikan dakwaan tersebut.

Menurut saksi yang berada di Litar Jeddah Corniche, kepulan asap hitam yang besar boleh dilihat naik ke atas bandar Laut Merah, di mana tempat acara perlumbaan Grand Prix Arab Saudi berlangsung hujung minggu ini.

Media kerajaan Saudi sebelum ini berkata mereka telah mengagalkan serangan dron dan roket Houthi yang bertali-arus.


Pertahanan udara Saudi juga memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Jizan, yang menyebabkan kebakaran ‘kecil’ di loji pengedaran elektrik.

Serangan Houthi semakin meningkat apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat satu utusan khas cuba mendapatkan gencatan senjata buat sementara waktu bagi menghormati bulan suci Ramadan yang bermula pada April dan Riyadh akan menjadi tuan rumah parti Yaman untuk rundingan pada akhir bulan ini.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken mengutuk serangan ke atas sekutu Arab Saudi, dan berkata Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan Riyadh untuk mengukuhkan pertahanannya sambil berusaha untuk menyelesaikan konflik di Yaman.

Setakat ini pihak Saudi Aramco tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan serangan Houthi sehingga menyebabkan dua tangki simpanan minyaknya terbakar. – Vocket



Please subscribe
















Join our Telegram Channel
Telegram