TERKINI: Jamal Abdillah diserang strok lumpuh separuh badan



GUA MUSANG: Keluarga seorang pekerja ladang kelapa sawit di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini bergantung kepada ihsan saudara mara dan jiran-jiran untuk makan minum selepas lelaki itu diserang strok sejak dua bulan lalu.

Kesusahan itu terpaksa ditanggung Jamal Abdilah Mohammad, 41, bersama isterinya, Eshah Samat, 51, serta dua anak mereka kerana dia tidak mampu lagi mencari rezeki apabila lumpuh sebelah kiri badan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jamal Abdilah berkata, sebelum ini, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM1,500 sebulan dengan bekerja di ladang kelapa sawit.


Selepas ditimpa sakit, katanya, kesemua duit simpanan yang ada telah habis digunakan untuk membeli keperluan dapur serta perbelanjaan sekolah anak-anak mereka yang berumur 11 dan 17 tahun.

“Saya berasa sangat sedih dengan keadaan yang menimpa diri sehingga tidak mampu membuat sebarang kerja berat.

“Saya berharap dapat sembuh seperti dahulu untuk bekerja semula mencari rezeki untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Sementara itu, Eshah berkata, biarpun sedih dengan nasib menimpa suami, dia bersyukur apabila saudara-mara, rakan-rakan serta jiran tetangga sudi membantu keluarga mereka dalam kesusahan.


“Suami perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Gua Musang setiap minggu kerana turut menghidap kencing manis. Saya sudah buat permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun, belum diluluskan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua kenalan yang sudi membantu dengan memberi wang untuk kami membeli makanan. Hanya Allah dapat membalas jasa semua,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Eshah di talian 011-25123050 atau salurkan sumbangan ke akaun Agrobank miliknya bernombor 2005951000078387. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram