PETALING JAYA: Presiden Badan Peguam AG Kalidas mempersoalkan kelewatan kerajaan menjelaskan ketidaktentuan mengenai kontrak Peguam Negara (AG) Idrus Harun.
Tempoh jawatan Idrus dijangka berakhir hari ini selepas dilantik pada 6 Mac 2020, beberapa hari selepas Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Kalidas mempersoalkan mengapa berlaku kelewatan dalam pengumuman berhubung perkara ini memandangkan AG adalah jawatan yang begitu penting.
“Lebih berhemat jika Perdana Menteri tidak menunggu sehingga saat-saat terakhir untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan mengumumkan pelantikan jika berlaku kekosongan (jawatan) atau pelanjutan lantikan semasa,” katanya kepada FMT.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, Agong melantik Peguam Negara, yang juga pendakwa raya, atas nasihat Perdana Menteri.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya tidak boleh mengesahkan apa-apa. Walaupun saya terlibat, bukan terpulang kepada saya untuk membuat pengumuman kerana Perdana Menteri yang akan berbuat demikian,” katanya dipetik The Vibes.
Idrus, 67, adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan pernah berkhidmat sebagai Peguam Cara Negara serta penasihat undang-undang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel